AIR MATA SYAWAL DAN PERPISAHAN ABADI | Assalammualaikum wbt. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. BAGI anak-anak yang duduk berjauhan dengan ibu bapa, Ramadan dan Syawal tahun ini auranya sangat berbeza. Semangat puasa dan nak beraya ditahap melepasi maksimum kalau boleh diukur atau disukat. Itulah yang PC dan encik suami rasakan. Bukan persiapan rayanya tapi rasa teruja nak balik kampung tu lebih, nak sambut Syawal dengan keluarga lain auranya. Babah mama dan emak abah serta adik beradik.
Kami balik kampung awal tiga empat hari. Hujung Ramadan dapat bersama-sama dengan babah mama dan emak abah. Lama tak sahur dan berbuka sama-sama di kampung. Bila dapat buat, syukur sangat-sangat. Alhamdulillah encik suami dapat cuti lama sikit. Walaupun sebenarnya perasaan PC bercampur aduk. Gembira tapi ada lagi satu rasa yang susah PC nak jelaskan cuma PC yang rasa dan faham kemudian terjemahkan dengan perbuatan.
Hujung-hujung Ramadan. Waktu PC balik kampung, mama dah mula kurang sihat. Sekejap ok. Sekejap tidak. Demam on off. Makan sesudu dua. Lebihnya minum. Tapi tetap mama nak puasa. Ditambah cuaca sangat panas terik. Allahuakbar. Mama dah enam tahun tidak sihat. Tidak boleh berjalan dan bangun sendiri kecuali dibantu. Jalan bertongkat. Kadang berkerusi roda. 2016 betul-betul hari terakhir Ramadan, selepas azan Asar, mama jatuh di bilik air. Sebelum itu mama disahkan ada masalah diabetis. Sebelum jatuh, rutin mama ke klinik kesihatan kawasan adalah tak asing. Selepas jatuh berubah ceritanya. Cerita baharu. Lembaran baharu. Ada juga kisah lain yang cukup cuma keluarga kecil kami yang tahu.
Hari ini, hari terakhir Syawal untuk tahun ini. Sebenarnya menjadi Syawal terakhir juga untuk mama yang sangat PC sayangi.
8 Syawal 1443H.
Isnin, 9 Mei 2022
2.30 petang
Di sisi babah. Dalam dakapan babah, mama perlahan-lahan pergi meninggalkan. Pagi yang sama kami berbicara. Bertatapan pandang. Sebelum PC bergerak balik ke Perak. Berjanji untuk nanti bertemu lagi pada Aidil Adha, kerana Aidil Adha ini bermakna sangat untuk mama dan kami juga. Sampai sahaja di kawasan taman perumahan, PC dimaklumkan mama dah tak ada. Berehat setengah jam, kemudian kami bergerak balik ke kampung di Batu Pahat Johor. Lebih menyakitkan lagi PC tak dapat mandikan mama. Tak dapat tatap wajah mama buat kali terakhir. Mama dikebumikan lepas selesai solat Asar. Berat tapi reda. Berat tapi bukan takdirnya. Bukan rezeki.
Ma, kerana sayang Jua tak nak sakiti mama lagi. Cukup apa yang mama tanggung selama ini. Tak apa ma, Jua cuma dapat ziarah pusara mama. Semua masih jelas dalam hati dan fikiran Jua apa sahaja perbualan, nasihat dan permintaan mama sepanjang Jua di kampung dengan mama. Sampai rumah kita, setelah lebih kurang 16 jam perjalanan pergi dan balik semula ke kampung kain penutup jenazah mama sebelum mama dimandikan benda pertama yang Jua pandang, Jua jadikan selimut. Ada bau mama. Wangi sangat ma. Wangi yang indah. Ada aura mama. Rasa mama peluk Jua erat-erat. Rasa mama tengah pujuk Jua. Sambil kita sama-sama menangis cuma bezanya kali ini dan seterusnya Jua menangis sendiri. Macam yang selalu mama buat. Baju mama, kain mama tetap ada bau mama. Walau telah dicuci ma. Sungguh. Allah tak hilangkan baunya untuk Jua jadikan penguat. Semua Jua kemas rapi. Susun macam mana mama susun tu. Di tempat yang sama.
Dulu mama selalu cakap, mama rindu arwah atok dan nenek. Sekarang Jua rasa ma. Sakitnya rindu mama yang dah kembali kepada PENCIPTA. Allah ambil mama Jua tak ada di sisi. Allah ambil mama pada hari ibu. Ma, setiap pesan mama yang dulu cuma bicara sahaja kini menjadi amanah untuk Jua lunasi. Satu persatu. Alhamdulillah banyak yang telah selesai dengan mudah. Syukur Allah.
Ya Allah, aku reda. Ya Allah aku bersyukur. Ya Allah terima kasih jadikan mama, mamaku. Aku dilahirkan menjadi anaknya. Ya, Allah terima kasih semuanya menjadi mudah dan sangat-sangat dipermudahkan urusan mengurus jenazah mamaku. MasyaAllah. Tabarakallah. Terima kasih Engkau santuni mamaku dengan cara yang paling indah. Hadiahkanlah seindah-indahnya syurga Firdaus Mu untuk mamaku kelak Ya Allah. Nanti satukan kami kembali. Di syurgaMU. Aamiin.
Ma, Jua betul-betul sangat rindukan mama. Al Fatihah. Mamaku, JAMALIAH BINTI SUHUT.
Tinta Perdu Cinta
AIR MATA SYAWAL DAN PERPISAHAN ABADI
Tags:
Santai Peribadi
Salam takziah
BalasPadamSemoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang2 beriman
Aamiin. Terima kasih wak.
PadamInnalillahhiwainnailaihirojiun...semoga ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.
BalasPadamTakziah diucapkan buat PC serta seluruh ahli keluarga.